Rebat Cukai Pendapatan untuk SME atau Perkongsian Terhad yang Baru
Mengikut Seksyen 6D Akta Cukai Pendapatan 1967, sebuah syarikat yang pertama kali mendaftar dan memulakan operasi antara 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2022 berhak mendapat rebat cukai yang sama dengan perbelanjaan pengendalian atau perbelanjaan modal yang dikeluarkan tetapi adalah terhad kepada jumlah maksimum RM20,000 bagi setiap tahun penilaian untuk 3 tahun penilaian berturut-turut yang pertama.
Syarat bagi pemberian rebat
2. [1] Bagi maksud pemberian rebat di bawah seksyen 6D Akta, suatu syarikat atau perkongsian liabiliti terhad (selepas ini masing-masing disebut sebagai “syarikat yang layak” atau “perkongsian liabiliti terhad yang layak”) hendaklah mematuhi syarat-syarat yang berikut:
(a) suatu syarikat yang layak atau suatu perkongsian liabiliti terhad yang layak tidak boleh memiliki atau dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh suatu syarikat berkaitan atau perkongsian liabiliti terhad berkaitan yang mempunyai modal berbayar berkenaan dengan syer biasa atau sumbangan modal (sama ada dalam bentuk tunai atau barangan) melebihi dua juta lima ratus ribu ringgit pada permulaan tempoh asas bagi suatu tahun taksiran;
(b) operasi syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu hendaklah dijalankan di premis yang berlainan daripada syarikat berkaitannya atau perkongsian liabiliti terhad berkaitannya;
(c) syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak tidak boleh menggunakan loji, peralatan dan fasiliti yang dimiliki oleh syarikat berkaitannya atau perkongsian liabiliti terhad berkaitannya atau yang telah dilupuskan kepada syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu oleh syarikat berkaitannya atau perkongsian liabiliti terhad berkaitannya;
(d) pekerja syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu, kecuali bagi Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarahnya, hendaklah berlainan daripada syarikat berkaitannya atau perkongsian liabiliti terhad berkaitannya;
(e) aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu hendaklah
[ i ] berlainan daripada syarikat berkaitannya atau perkongsian liabiliti terhad berkaitannya; atau
[ ii ] berlainan daripada suatu pemilikan tunggal jika pemilikan tunggal itu ditukar kepada suatu syarikat atau suatu perkongsian liabiliti terhad;
(f) syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu tidak boleh merupakan suatu hasil percantuman atau pemerolehan dua atau lebih syarikat atau perkongsian liabiliti terhad yang mempunyai modal berbayar berkenaan dengan syer biasa atau sumbangan modal (sama ada dalam bentuk tunai atau barangan) dua juta lima ratus ribu ringgit dan kurang pada permulaan tempoh asas bagi suatu tahun taksiran dan pendapatan kasar daripada suatu punca atau punca-punca perniagaannya tidak melebihi lima puluh juta ringgit dalam tempoh asas bagi tahun taksiran itu; dan
(g) perkongsian liabiliti terhad yang layak itu bukan suatu perkongsian atau syarikat yang telah ditukar menjadi suatu perkongsian liabiliti terhad mengikut seksyen 29 atau 30 Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 [Akta 743].
(2) Jika suatu syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak memulakan operasi pada atau selepas 1 Julai 2020 dan tempoh asasnya berakhir pada atau sebelum 31 Disember 2020, suatu rebat boleh diberikan mengikut Perintah ini bagi tahun taksiran 2021 dan 2022 sahaja.
Syarikat berkaitan atau perkongsian liabiliti terhad berkaitan
3. Suatu syarikat berkaitan atau perkongsian liabiliti terhad berkaitan yang disebut dalam Perintah ini ertinya berhubung dengan suatu syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak—
[ a ] suatu syarikat atau perkongsian liabiliti terhad yang memiliki secara langsung atau tidak langsung lima puluh peratus daripada modal berbayar berkenaan dengan syer biasa atau sumbangan modal (sama ada dalam bentuk tunai atau barangan) syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu;
[b] suatu syarikat atau perkongsian liabiliti terhad yang lima puluh peratus daripada modal berbayarnya berkenaan dengan syer biasa atau sumbangan modalnya (sama ada dalam bentuk tunai atau barangan) dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak itu; atau
[c] suatu syarikat atau perkongsian liabiliti terhad dan suatu syarikat yang layak atau perkongsian liabiliti terhad yang layak yang lima puluh peratus daripada modal berbayarnya berkenaan dengan syer biasa atau sumbangan modalnya (sama ada dalam bentuk tunai atau barangan) dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh syarikat lain atau perkongsian liabiliti terhad lain.



Leave a Reply